Pages

Monday, September 4, 2023

Kisah Saya dan Pokok: Seri Pagi (4)

    Setelah saya tahu beberapa tumbuhan yang bunganya seperti seri pagi, saya ingin menceritakannya kepada kawan pena Jepun saya. Kami berhubung dengan saling bertukar poskad 😊

   Ohh sebelum itu, saya terjumpa satu lagi setem bertemakan ikan & tumbuhan akuatik. Ada satu lagi tumbuhan yang mempunyai bunga seperti seri pagi, iaitu Ipomoea aquatica (nama botani) atau Water Spinach (nama Inggeris). Saya terbayang maksud Water Spinach adalah Bayam Air, jadi saya berfikir, "Ohh, saya tak pernah dengar tentang Bayam Air, hanya tahu sayur Bayam, jadi saya tak kenal lah kot tumbuhan ini."

  Pada poskad kepada Yumikoさん, saya cerita tentang bunga seri pagi, tumbuhan ubi keledek, tumbuhan akar tapak kuda, dan pokok water spinach (saya tulis poskad dalam Bahasa Inggeris). Saya gunakan poskad gambar bunga akar tapak kuda yang saya tempah cetaknya, dan lekatkan 2 setem iaitu setem bunga seri pagi dan water spinach.

   Setelah 2 minggu poskad tersebut dipos, Yumikoさん beritahu saya bahawa poskad saya kepadanya sampai, dan dia suka terimanya! 🤩

   Tetapi yang lebih mengejutkan, adalah isi mesejnya kepada saya...


"I got your postcard today. I'm so glad, you made this card! Wonderful and thank you!

'Sea morning glory'... Oh, I saw something similar on the beach (Niigata faces the sea). It's like a Calystegia japonica or Calystegia soldanella that I saw at the beach.

Very interesting.

And 'Water Spinach' is ผักขมน้ำ, isn't it?

Before, there is not in Japan. Now we can see it at the market. It is cultivated in Niigata, though it is a little.

And... 'Japanese morning glory' is summer flower for us.

Thank you so much for everything!

Yumiko"


   Saya terkejut! Selain terkejut yang Water Spinach ada mula ditanam di Jepun, tapi terkejut kerana Yumikoさん kenal tumbuhan tersebut semasa dia tinggal di Thailand dahulu.

   Saya terfikir, jika Thailand ada tumbuhan Water Spinach, tak kan lah Malaysia tiada? Kerana cuaca dan tanih Malaysia dan Thailand hampir sama.

   Saya pun cari makna atau nama Melayu bagi Water Spinach di laman web Google. Jawapannya buat saya tergamam!

   Water Spinach = Kangkung

   Lahh, saya kenal sangat tumbuhan ni!! 😆 Dah lah ia adalah sayur kegemaran saya. Alahai Munirah ☺ Kawan pena Jepun yang menyedarkan saya tentang nama Inggeris sayur kangkung, serta saya gembira tahu bahawa rupa bunga sayur kangkung seakan bunga seri pagi 😃

Saturday, September 2, 2023

Kisah Saya dan Pokok: Seri Pagi (3)

    Anda rasa kisah saya dan tumbuhan 'adik-beradik' seri pagi terhenti pada kisah sebelumnya? Ada lagi kisah yang lain 😃

   Saya ada beli beberapa Sampul Surat Hari Pertama (First Day Cover/ FDC) tentang tumbuhan. FDC ni menarik kerana ia memaparkan setem yang dikeluarkan sempena FDC itu, serta pamphlet penerangan tentang setem itu. Salah satu FDC yang saya ada adalah tentang Tumbuhan Berubi (Tuber Plants).

   FDC dan setem 'Tumbuhan Berubi' memaparkan 6 jenis tumbuhan iaitu Ubi Kayu, Ubi Badak, Sengkuang, Ubi Keledek, Ubi Keladi dan Ubi Atas.

   Anda pernah dengar tentang nama kesemua tumbuhan itu? Saya hanya tahu atau pernah dengar separuh dari tumbuhan itu, selebihnya adalah pertama kali saya tahu 😃 (umpama saya belajar sesuatu secara seronok melalui setem! ❤)

   Lebih menarik lagi, lukisan tumbuh-tumbuhan di setem lengkap dengan gambar bahagian ubi, rupa daun dan bunganya. Saya terpana sebentar apabila melihat lukisan setem ubi keledek, kerana rupa bunganya seakan seri pagi!

   Apabila saya lihat nama saintifiknya, sah lah bahawa tumbuhan ubi keledek digolongkan (dalam ilmu botani) di dalam kumpulan bunga seri pagi iaitu Ipomoea batatas.

   Jika anda pernah melihat bunga ubi keledek, kongsikanlah gambarnya dengan saya! 🤩

   Seorang kawan saya pernah kongsikan gambar tumbuhan ubi keledek yang daunnya menjalar menutupi tanah di kebun pisang ayahnya. Menarik sungguh! 😃

   Baru-baru ini, saya ada membeli majalah terbitan Penerbit MARDI, keluaran tahun 2020 (Majalah AGROMEDIA, Bil. 54) di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2023. Ada artikel di dalam majalah yang menunjukkan gambar-gambar pelbagai jenis bunga seri pagi, termasuk gambar bunga ubi keledek! (Tajuk artikel: 

Warna-Warni Keledek Liar: Rumpai Pelbagai Guna).

Monday, August 28, 2023

Kisah Saya dan Pokok: Seri Pagi (2)

    Kisah bunga seri pagi yang dibaca sebelum ini, lebih dikenali sebagai pokok atau bunga jenis hiasan, atau juga tumbuhan liar.

   Namun, anda juga boleh terjumpa 'adik-beradik' kepada bunga seri pagi, iaitu tumbuhan lain yang mempunyai bunga seakan rupa bunga seri pagi. Anda boleh agak tumbuhan lain ini apa? ^_^ Jika anda ada terjumpanya di mana-mana 😃

   Suatu waktu, saya berjalan-jalan di sebuah pantai di negeri Perak. Saya ternampak sekelompok besar tumbuhan hijau menjalar di pasir pantai.

   Jika anda melihatnya sekali imbas, ia kelihatan seperti karpet berwarna hijau, tetapi tidak halus seperti tumbuhan rumput.

   Saya berjalan mendekatinya untuk melihat rupa daun tumbuhan itu dengan lebih dekat. Di celah-celah daun, saya terlihat beberapa kuntum bunga yang mekar, dan bunganya seakan rupa bunga seri pagi! 🤩 Warna bunganya seperti ungu cair, cantik! 💜

   Menariknya, tumbuhan ini adalah tumbuhan semulajadi (native) Malaysia. Nama tempatannya adalah Akar Tapak Kuda atau Batata Pantai.

   Nama Inggerisnya adalah Sea Morning Glory, Beach Morning Glory atau Bay Hops. Nama botaninya adalah Ipomoea pes-caprae. Saya cari maklumat nama tumbuhan ini di laman sesawang www.mybis.gov.my

   Saya tangkap gambar Akar Tapak Kuda ini menggunakan kamera telefon bimbit, dan kemudian cetaknya sebagai sekeping poskad 😃

   Suatu hari, saya belek album setem terpakai yang saya kumpul semasa sekolah rendah (saya masih minat setem sehingga sekarang 😆). Rupanya saya ada sekeping setem lama Australia yang memaparkan lukisan bunga Akar Tapak Kuda ini! 🤩

Sunday, August 27, 2023

Kisah Saya dan Pokok: Seri Pagi (1)

    Anda pernah dengar atau tahu tentang bunga seri pagi?

   Ia adalah sejenis pokok menjalar atau memanjat.

   Berhadapan dengan tingkap dapur rumah kami, ada banyak kelompok pohonan hijau di balik kaki bukit. Tapi pemandangan ni dalam beberapa jarak, yakni saya perlu teropong guna binocular jika saya ingin melihat rupa pokok atau daunnya dengan jelas.

   Selalunya apabila saya melihat pemandangan di sana sekali imbas, saya hanya lihat warna hijau pohonan.

   Suatu pagi, apabila pandangan mata saya melewati tingkap dapur, saya terlihat sekelompok kecil warna merah jambu terang/cerah di celah kehijauan pokok. Saya teruja, apakah itu?! Tetapi saya putuskan untuk teropong 'sesuatu' itu pada waktu petang nanti.

   Tiba pada waktu petang, sekitar 5 petang, saya mahu teropong ia tetapi kelompok merah jambu itu telah hilang! Sedihnya saya 😭

   Keesokan paginya, saya melihat kelompok merah jambu itu ada kembali! Saya kehairanan, lalu terus mengambil binocular untuk melihatnya dengan lebih jelas.

   Saya meneropongnya, dan rupanya ia adalah beberapa kuntum bunga seri pagi!

   Pada petang harinya, bunga seri pagi itu kuncup kembali.

   Oleh itu, saya terfikir, adakah kerana sifatnya yang mekar di pagi hari, dan kuncup di petang hari, membuatkan ia mendapat nama 'seri pagi'? Ini saya tidak pasti. Jika anda tahu jawapannya, boleh kongsikan dengan saya! 😃

   Saya suka warna biru, dan kemudiannya, saya terjumpa bunga seri pagi yang berwarna biru-ungu! 🤩


# Bunga Seri Pagi/ Morning Glory/ Ipomoea indica

Thursday, August 24, 2023

Kisah Saya dan Pokok: Bunga

    Sejak peristiwa itu (Kisah Saya & Pokok: Serai Wangi), saya teruja untuk lihat bunga bagi setiap pokok yang dijumpai, jika ia berbunga atau berbuah 😀

   Bagi mudah faham, pokok ada batang dan daun, serta akar. Ini rupa pokok/tumbuhan yang selalu kita akan nampak. Dan ada masanya, pokok itu akan keluarkan bunga. Bunga itu akan membesar, mekar, layu... dan kemudiannya ia akan berbuah.

   Tidak kira jika ia adalah 'pokok bunga', 'pokok buah', 'sayur', 'rumpai', dan istilah yang lain 😊

   Istilah-istilah tersebut adalah kategori/pembahagian mengikut ilmu sains pertanian. Misalnya, 'pokok bunga' adalah pokok yang bunganya cantik, atau selalu berbunga, atau bunganya dijadikan hiasan... Tapi ia tetap alami proses sebagai sebatang pokok, iaitu selepas ia berbunga, ia akan hasilkan buah (mungkin buahnya tidak boleh dimakan, atau tidak menarik, atau tidak dianggap buah, dan lain-lain perkara).

   'Pokok buah' juga berbunga sebelum berbuah. Cuma mungkin bunganya tidak menarik perhatian manusia kadang-kadang. Cubalah lihat bunga pokok mangga! 😃


Pssstt... selain lihat bunga pokok mangga, daun mudanya juga menarik untuk dilihat! 🤩

Kenapa?

Daun muda mangga berwarna merah-oren!

Bolehlah anda membayangkan seperti musim luruh (autumn) yang daunnya berwarna-warni! 🍂🍃 (Tapi daun muda mangga ni tak luruh lah hehe)

Merah-oren --> Merah tua/gelap --> Hijau

(Perubahan warna daun mangga muda kepada daun matang) 

Wednesday, August 16, 2023

Kisah Saya dan Pokok: Serai Wangi

    Awal tahun 2019, saya belajar mengenali beberapa tumbuhan ubatan herba dengan staf dari Rimba Ilmu, Universiti Malaya. Rimba Ilmu adalah kawasan hutan asli yang masih terjaga di dalam kawasan UM - seperti adanya sebatang sungai yang mengalir, kawasan hutan larangan, dan juga terdapat tumbuhan lain yang ditanam untuk tujuan pembelajaran dan penyelidikan.

   Anda pun boleh masuk ke Rimba Ilmu jika berkesempatan ke UM! 😃 Ia dibuka pada waktu dan hari bekerja (Isnin - Jumaat), kecuali cuti umum.

   Antara tumbuhan ubatan yang saya diajar mengenalinya seperti pokok mas cotek, pegaga, ekor anjing, hempedu bumi, jarak bunting, dan lain-lain.

   Saya tidak tahu bagaimana hendak membezakan antara serai makan dan serai wangi. Saya bertanyakan hal ini kepada staf tersebut. Dia kongsikan beberapa perbezaan ciri antara dua tumbuhan itu, kemudian berkata, "Jika kamu ingin lihat bunga serai wangi, ada serumpun serai wangi sedang berbunga di kebun kecil belakang kantin di Fakulti Sains."

   Saya terkejut!

   Saya katakan kepadanya, "Serai wangi ada bunga?"

   "Ada." Jawab staf.

   "Selain lumut, paku-pakis, pokok berkon (cone) seperti pine, fir; maka semua pokok ada bunga. Pokok berbunga tidak sama, misalnya serai wangi akan berbunga selepas umurnya setahun lebih. Jadi kalau kamu cabut tumbuhan serai wangi sebelum umurnya setahun, mungkin tak akan pernah nampak bunganya." sambungnya lagi.

   "Ohhh" jawabku dengan tersipu-sipu malu ☺

   Saya ada belajar asas tumbuhan atau botani semasa program asasi dan sarjana muda, tetapi bilamana ilmu teks dan praktikal dengan melihat tumbuhan di habitatnya, tidak diselarikan, maka diri sendiri lah yang rugi.

   Staf tersebut bukanlah pensyarah, hanya dilihat seperti pekebun, tetapi ilmu dan pengalamannya selama bertahun-tahun sangatlah banyak! Belajarlah dari sesiapa, asal ia adalah ilmu yang bermanfaat ^_^


اللهم انا نسألك علما نافعا ورزقا طيبا وعملا متقبلا

Ertinya: Ya Allah, kami mohon ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik, dan amalan yang diterima

اللهم انا نسألك علما نافعا ورزقا واسعا وشفاء من كل داء

Ertinya: Ya Allah, kami memohon ilmu yang bermanfaat, rezeki yang luas, dan kesembuhan dari segala penyakit

# Doa-doa ini adalah petikan dari hadith, boleh lihat buku doa untuk tahu lebih lanjut tentang doa ini 😊

Wednesday, August 9, 2023

Kisah Saya dan Pokok: Pohonan Hijau

    Di Malaysia, khususnya di Selangor tempatku membesar, ku lihat pohonan hijau di mana-mana tempat. Aku melihatnya dengan pandangan dan hati kosong, yakni tiada makna yang ditafsir oleh fikiran. Boleh juga dikatakan bahawa pemandangan serba hijau itu tidak menarik perhatian atau minatku kepada pokok.

   Namun terdapat beberapa ketika setelah berinjaknya usia, ku tertanya-tanya tentang pohonan hijau.

   Berikutan rasa ingin tahu serta didorong perasaan "Adalah aku berminat dengan pokok", ku menyedari bahawa walau terdapat banyak pohonan hijau di sesuatu kawasan tetapi, selalunya setiap pokok yang bersebelahan adalah berbeza! 🗯

   Berbeza dari sudut apa?

   Rupa bentuk daun berbeza 🌿🌴🍀🍁🌱🌾🍃🍂, kulit kayu pokok berbeza, silara (canopy) iaitu rupa keseluruhan daun terbentuk berbeza 🌳🌲🌴, dan lain-lain.

   Tidak percaya?

   Cubalah perhatikan pokok sekeliling anda! 😃


Pssstt.. tetapi jika anda pergi ke ladang pertanian atau kebun, anda akan melihat pokok yang sama jenis dalam kuantiti yang banyak 😉

Jadi cubalah perhati tumbuhan meliar di tepi jalan, semak, hutan, kaki bukit, tanaman rumah... 😊

Kisah Saya dan Pokok: Lobak Merah

    Semasa kecil, saya lihat kartun di televisyen. Ia memaparkan seekor arnab menarik satu rumpun daun dengan kuat. Akhirnya, ia berjaya mencabut rumpun itu tetapi rumpun itu bersambung dengan sebatang lobak merah.

   Saya hanya melihat cerita itu dengan fikiran kosong.

   Kini apabila dewasa, baru saya sedar bahawa kartun itu ada benarnya, yakni begitu lah rupa pokok lobak merah 🥕🥕🥕



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...