Pages

Wednesday, December 23, 2015

Diari Kehidupan 3: Berjalan Kaki

بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Selfie kasut, diri sendiri atau perjalanan? (muhasabah) ^_~


Diari di Siang Hari ^_^
Hari ini aku berjalan kaki daripada Fakulti Sains ke Kolej 12. Oppss... setiap hari kita berjalan kaki walaupun kita berada di dalam bilik. Cuma kali ini ada perkongsian yang menarik tentang perjalanan aku yang tidak seberapa, dan kadang-kadang kita hanya akan tersedar nikmat berjalan (nikmat kaki) apabila kita keletihan ketika berjalan, berjalan jauh atau sakit.

Jauh tak jarak Fakulti Sains ke Kolej 12? Perjalanan mengambil masa lebih kurang 20 minit dengan berjalan kaki. Aku berjalan sambil melihat persekitaran di sekeliling bagi mengubat kesunyian berjalan tanpa teman. Aku mendongak ke langit, "Ah! Betapa tingginya langit... tanganku hanya mampu tergawang-gawang tanpa dapat dicapai langit," bisik hatiku. "Subhanallah, Maha Suci Allah yang menciptakan langit tanpa tiang." =)

Selepas mendongak ke langit, ku tundukkan kepala menghadap jalan. Daun-daun yang telah gugur berselerakan di sepanjang jalan yang aku lalui. Hmm.. daun gugur selalunya ia daun yang mati (walau tidak semua). "Ah! Hari ini aku belajar bahawa aku kena mengingati kematian.. barulah aku mampu untuk membuat persediaan menghadapi kematian. Rupanya ada cara yang senang untuk mengingati kematian selain daripada khabar kematian seseorang. Iaitu dengan melihat makna di sebalik daun yang gugur," getus hatiku.

Pokok-pokok sekeliling yang menghijau menyejukkan pandangan mata dan meneduhkan diri daripada sinaran cahaya matahari. Hari ini aku terasa teriknya pancaran matahari daripada hari biasa. Mataku terkedip-kedip, kulitku terasa panas, peluh mula memercik membasahi sekujur badan. "Ah.. panasnya.. ," desis hatiku. Aku hampir mengeluh menghadapi kepanasan cahaya matahari namun tiba-tiba, terbit satu lintasan di fikiranku. "Bila cuaca panas, kita mengadu. Bila hujan, kita mengadu kesusahan juga. Jadi, di mana rasa kesyukuran kita sebagai hamba Allah?" soal hatiku.

Akhirnya, aku tiba ke destinasi aku. Alhamdulillah. Moga perjalanan ini membawa seribu satu makna buat diri (",)

Sekian. Catatan diri~
Fikir Zikir.

Nota: Perjalanan masa daripada bulan 9 sehingga bulan 12 dihiasi dengan belajar subjek pengajian Islam, subjek elektif dan kerja makmal untuk projek tahun akhir =)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...