Pages

Sunday, June 21, 2015

Diari Ramadan: Perkara Sunat Puasa

بسم الله الرّحمن الرّحيم
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Picture: credit to owner/designer


Diari Ramadan.
21/6/2015 bersamaan 4 Ramadan 1436 H.

Alhamdulillah, semester 6 ini saya berkesempatan belajar subjek Fiqh Ibadah. Antara topik yang disentuh di dalam pembelajaran adalah "Perkara Sunat Puasa".

Puasa terdapat 4 jenis: Puasa wajib, haram, makruh dan sunat. Puasa Ramadan adalah puasa yang diwajibkan untuk umat Islam apabila tibanya bulan Ramadan, yakni bulan ke-9 daripada kalendar Islam.

Pelbagai kelebihan puasa telah diterangkan oleh Nabi Muhammad S.A.W. di dalam hadith-hadith (Insha Allah saya kongsikan kemudian). Secara umumnya, apabila kita bercakap mengenai puasa, kita selalunya merujuk kepada puasa Ramadan memandangkan seluruh umat Islam di pelbagai tempat akan berpuasa di bulan ini. Oleh itu, saya ingin berkongsi perkara-perkara sunat puasa yang kami pelajari secara ringkas (Rujukan: Buku Fiqh al-'Ibadah oleh Ustazah Anisah Abdul Ghani). Perkara sunat ini boleh diaplikasi di dalam semua jenis puasa (kecuali puasa haram).


  1. Bersahur walau sedikit dan mengakhirkannya (melambatkannya sehingga sebelum masuk waktu Subuh/terbit fajar sadiq).
  2. Segera berbuka setelah yakin tenggelam matahari/masuk waktu Maghrib dan sebelum solat Maghrib. Disunatkan berbuka dengan tamar atau air atau benda manis.
  3. Berdoa selepas berbuka dengan doa yang ma'thur iaitu: َاللهم لَكَ صُمْتُ وعلى رزقِك اَفْطَرْتُ
  4. Memberi/menyediakan juadah berbuka kepada orang yang berpuasa walau dengan tamar atau air atau lain-lain lebih-lebih lagi jika dapat memberi sesuatu yang mengenyangkan.
  5. Menjaga lisan dan anggota badan (amal perbuatan) dengan melakukan perkara-perkara yang tidak berdosa seperti berkata perkara baik atau diam, termasuk di laman sesawang dan lain-lain. Adapun perkara-perkara yang diharamkan seperti mengumpat, mengadu domba dan berdusta, ia adalah dilarang bukan sahaja di bulan Ramadan bahkan setiap masa. Namun apabila kita melakukan perkara keji di bulan Ramadan, kita seolah merendahkan kemuliaan Ramadan.
  6. Meninggalkan perkara harus yang boleh menaikkan syahwat seperti isteri memakai minyak wangi, mencium benda harum dan lain-lain.
  7. Sunat meninggalkan berbekam dan derma darah di sisi Imam Syafi'e (mazhab Syafi'e)
  8. Meraikan keluarga, berbuat baik kepada saudara-mara dan memperbanyakkan sedekah kepada orang fakir dan miskin. Kita digalakkan untuk menjadi pemurah setiap masa dan lebih-lebih lagi di bulan Ramadan.
  9. Beriktikaf terutama pada 10 hari terakhir bulan Ramadan.
  10. Menyibukkan diri dengan majlis ilmu, belajar, membaca al-Quran dan tadabbur maknanya, zikir, selawat atas Nabi, dan lain-lain yang mudah bagi kamu pada siang dan malam.


Wallahua'lam. Apa-apa penambahbaikan dan teguran adalah sangat saya harapkan daripada para asatizah. 

Jemput baca- Ramadan Penyelamat Terakhir

Saturday, June 13, 2015

Environmental Race 2015




Sahabat sekalian apa khabar? Moga hari ini kita ada melakukan perkara yang baik dan bermanfaat =)

Entri kali ini, saya ingin mengimbas kembali suatu cerita. Cerita kehidupan. Pada 30 Mei yang lepas, saya dan kawan-kawan menyertai program Environmental Race 2015. Program tersebut merupakan anjuran pelajar Sains Pengurusan Alam Sekitar (SPAS) Universiti Malaya. Saya dimaklumkan bahawa program ini dianjurkan setiap tahun. Mungkin tahun hadapan program ini dianjurkan lagi jika sahabat-sahabat ingin menyertai ^_^

Setiap kumpulan yang berdaftar terdiri daripada 4 orang ahli. Nama kumpulan saya adalah S.L.I.M. iaitu singkatan nama ahli kumpulan saya: Suliana, Lisa, Ili, dan Munirah. Selepas sesi pendaftaran di Fakulti Sains, kami berkumpul untuk mendengar taklimat mengenai tatacara program seterusnya sesi senaman. Kemudian, bermulalah aktiviti EcoRace! (nama lain bagi program ini).

Semasa taklimat, kami diberi peta perjalanan EcoRace. Saya terkejut! Rupa-rupanya peserta akan mengelilingi seluruh Universiti Malaya (UM) untuk menamatkan EcoRace. EcoRace dimulai dengan setiap kumpulan dikehendaki untuk menjawab 5 soalan. Jika kumpulan tersebut menjawab kesemua soalan dengan betul, barulah mereka akan dibenarkan untuk pergi ke checkpoint pertama. Jawapan kepada 5 soalan tersebut terdapat di sekitar Fakulti Sains.

Setelah setiap kumpulan berjaya menjawab soalan, berikut merupakan checkpoint beserta aktiviti untuk setiap checkpoint secara ringkas:

1. Dataran Dewan Tunku Canselor (DTC) - pilih satu set soalan untuk dijawab.
2. Ambang Asuhan Jepun (AAJ) - 3 orang ahli kumpulan melukis gambar mengikut turutan dan orang terakhir akan meneka jawapan kepada lukisan tersebut.
3. Pusat Sukan - mencantum puzzle dan nyatakan 5 pengajaran daripada gambar puzzle tersebut.
4. Rimba Ilmu - cari benda yang berlabel ER dan jawab soalan.
5. Sirkut PALAPES- lepasi 2 halangan dan bina kapal menggunakan bahan terpakai.
6. Foodcourt Village - ubah lirik lagu (2 rangkap).

Setelah setiap kumpulan melengkapkan keenam-enam checkpoint tersebut, kami dikehendaki kembali ke Fakulti Sains untuk dicatat pencapaian kami :)

Saya catatkan pengalaman kumpulan saya untuk setiap checkpoint. Pada checkpoint pertama, saya pilih soalan set D. Ada 5 soalan yang ditanya iaitu: 1) Apakah yang dimaksudkan dengan global warming? 2) Nyatakan 2 kesan hujan asid. 3) Punca jerebu. 4) Tong berwarna oren untuk bahan apa? Lagi satu soalan saya tak ingat. Manakala di AAJ, saya jadi peneka lukisan. Jawapannya adalah jerebu.

Puzzle yang telah siap disambung di checkpoint ketiga adalah gambar bumi yang sakit beserta persekitaran bumi. Seterusnya, kami jumpa potongan kotak yang berlabel ER di dalam pasu bunga di Rimba Ilmu. Kami ditanya beberapa soalan seperti "Berikan 3 bahan yang boleh terhasil daripada kepingan kotak yang dikitar semula" dan "Berapakah harga 5 kg kertas untuk dijual?". Kami tidak dapat menjawab soalan kedua tersebut maka, kami ditahan selama 5 minit daripada meneruskan larian.

Seterusnya, kami dikehendaki melepasi 2 halangan iaitu menyeberangi jambatan gantung di atas air dan menyusur di bawah kawat berduri di sirkut PALAPES (jika istilah ini salah, mohon beritahu saya untuk diperbetulkan). Setelah itu, kami bina kapal yang terapung menggunakan sekeping kertas kotak, sepotong polystyrene berbentuk segi empat dan satu botol minuman kosong. Kemudian, kami berlari ke Foodcourt Village. Kami dapat lagu Potret untuk diubah lirik lagunya kepada lagu berunsur alam sekitar. Walaupun kami hanya perlu mengubah dua rangkap lagu tetapi, kami mengambil masa yang lama di checkpoint ini..

Akhirnya, kumpulan saya berjaya menyelesaikan EcoRace selama lebih kurang 2 jam. Kemudian, kami menunggu majlis penutup dan penyerahan hadiah. Kumpulan saya dapat hadiah saguhati. Alhamdulillah, satu pengalaman yang seronok dan banyak ilmu kami perolehi.

Akhir kata, marilah kita bersama-sama menjaga alam anugerah Tuhan ini. Pelbagai cara yang boleh kita usahakan seperti kitar semula, berjimat-cermat menggunakan air dan elektrik, menyedari kepentingan menjaga alam (kesedaran), dan lain-lain.


T-shirt ungu- ahli jawatankuasa program.
T-shirt hijau- peserta.


Lirik lagu yang digubah kumpulan saya (bahagian korus lagu Potret):

Jauh tercemar lukisan alamku,
Sifat kemanusiaan telah hilang,
Bumi menangis kerna sesal ini,
Sampai bila semua ini.

Mari, mari kita kitar semula,
Alam anugerah Tuhan terindah,
Kertas, plastik, kaca, aluminium,
 Kitar semula semua.


Entri berkaitan - Kajian Kes: Sumber Tenaga

Dua tujuan utama manusia di bumi- sebagai hamba Allah dan menjalankan tugas khalifah. Antara tugas khalifah di muka bumi adalah mengurus dan menjaga alam dengan baik yakni bertepatan dengan garis panduan Islam.

Wallahua'lam. Sekian, terima kasih.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...