Pages

Saturday, February 25, 2012

Fiqh Al-Mar'ah (Fiqh Wanita)

بسم الله الرّحمن الرّحيم
السّلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Alhamdulillah, pada pagi Jumaat yang indah, saya dan kawan-kawan dapat serta di dalam majlis ilmu yang membincangkan tentang fiqh wanita. Oleh itu, insyaALLAH, saya nak berkongsi beberapa input yang saya dapat. Perkara ini penting untuk diketahui oleh setiap muslimah.


Iklannya

Apa yang dimaksudkan/beza antara wadi, mazi, dan mani?

Wadi - nama lainnya adalah keputihan. Berwarna putih atau kekuning-kuningan. Nak bezakan wadi dengan 'kelembapan faraj', bila kita kikis keputihan itu dengan jari, ada kesan/sesuatu melekat di jari kita. Jika 'kelembapan faraj', hanya lembap, dan tidak najis. Wadi adalah najis, dan batal wudhu'. Wadi keluar kerana kepenatan, jangkitan kuman atau bila nak dekat haid.

Nota: Pertama kali saya dengar tentang 'kelembapan faraj'.

Mazi - Berwarna jernih, dan melekit. Mazi keluar apabila terangsang/ada rasa/syahwat, seperti membaca sesuatu yang membangkitkan rasa, dan lain-lain. Mazi adalah najis, dan batal wudhu'.

Mani - Sangat susah untuk keluar, melainkan apabila buat onani, persetubuhan atau mimpi. Perlu mandi wajib apabila keluar mani.

Tentang darah haid dan beberapa masalah berkaitannya:

  • Tempoh keluar darah haid:

Sehari semalam - minimum
15 hari - maksimum

  • Tempoh suci antara haid lepas dengan haid akan datang :

Menurut jumhur ulama, sekurang-kurangnya 15 hari. Hari mandi wajib adalah hari pertama suci, dan boleh haid semula pada hari ke-16 paling awal.
Maksudnya, hari mandi wajib adalah hari pertama kita suci, dan kiralah hari seterusnya hingga cukup 15 hari. Itulah tempoh suci, yakni suci dari haid, tidak boleh haid ketika itu (15 hari). Jika keluar darah dalam tempoh suci itu, maka darah itu dianggap darah istihadhah.

  • Macam mana jika kita keluar darah pada hari ke-13 suci?

Darah itu adalah darah istihadhah, walaupun darah itu ada ciri-ciri darah haid. Kemudian, jika darah masih keluar, darah itu dikira sebagai darah haid pada hari ke-16 (setelah cukup 15 hari suci).

  • Macam mana nak tahu/kira tempoh kebiasaan kita haid?


Menurut Mazhab Syafie, lihat berapa hari kita haid untuk haid bulan lepas. Sebagai contoh, bulan lepas kita haid selama 7 hari, jadi bulan ini, berjaga-jagalah pada hari ke-7 haid, mana tahu dah boleh mandi wajib.

Menurut Mazhab Hanafi, lihat pada haid 2 bulan yang lepas. Sebagai contoh, bulan 12 kita haid 7 hari, bulan 1 juga kita haid 7 hari, jadi bulan 2 itu, kita boleh mengganggap tempoh kebiasaan kita haid adalah selama 7 hari.

  • Bagaimana jika suatu bulan, haid kita tidak sama dengan kebiasaan (tempoh haid)?

Sebagai contoh, jika kebiasaan kita haid adalah selama 7 hari, dan suatu ketika, kita haid selama 13 hari. Ia dianggap haid, kerana kurang 15 hari (tempoh maksima haid).

Tetapi, jika kebiasaan kita 7 hari, dan darah keluar sehingga hari ke-16 haid (melebihi tempoh maksima haid, 15 hari), maka kita perlu ambil kiraan kebiasaan kita haid. Kiranya kita haid cuma selama 7 hari, dan hari-hari selebihnya adalah darah istihadhah. Perlu qada' solat.

  • Apa beza darah wiladah dan darah nifas?

Darah wiladah - Darah yang keluar seiring dengan keluarnya bayi.

Darah nifas - Darah yang keluar selepas bersalin. Tempoh paling lama adalah selama 60 hari.

Sesiapa yang keluar darah wiladah sahaja, dan tidak keluar darah nifas, perlu mandi wajib untuk wiladah. Puteri Baginda Muhammad S.A.W, Fatimah rha digelar Az-Zahra' kerana beliau tidak pernah keluar darah nifas selepas bersalin.

Tetapi bagi yang keluar darah nifas selepas keluar darah wiladah, dia perlulah mandi selepas darah nifasnya berhenti, mandi wajib sekali sahaja.

  • Jika seseorang wanita itu keguguran, dan keluar darah selepas itu, darah itu dianggap apa?


Darah nifas. Dan hendaklah mandi wajib setelah darah nifasnya berhenti.





Wallahua'lam. Ini adalah daripada apa yang saya dengar dan faham. Bagi sahabat-sahabat yang turut ke kuliah tersebut, dan jika ada kesilapan pada info di atas, harap diperbetulkan (",) Buat sahabat-sahabat yang membaca, info di atas hanyalah asas sahaja, banyak lagi permasalahan yang kita tidak tahu penyelesaiannya. Ustazah ada cadangkan untuk membaca buku yang ditulisnya tentang isu di atas. Oleh itu, jangan berhenti belajar dan amal, dan kerana itulah, saya menulis info itu di sini..walaupun mungkin pada sesetengah kita, malu untuk berbicara tentangnya atau merasa tidak patut saya tulis ia di sini. Mudah-mudahan, ini adalah antara usaha untuk menyampaikan ajaran Nabi Muhammad S.A.W, amin.

Saya mohon maaf atas segala hal. Moga bermanfaat, amin~ Dan marilah kita sama-sama mendoakan kebaikan buat saudara-saudara seislam kita.. (",) -Ila mardhotillah-

3 comments:

  1. terima kasih atas perkongsian. may Allah bless.

    ReplyDelete
    Replies
    1. sama-sama. dialu-alukan juga untuk berkongsi perkongsian dengan saya. terima kasih atas doanya~

      Delete
  2. السلام عليكم
    تشجيعاتي لم واصلي

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...