Pages

Wednesday, March 4, 2015

Konsep Halal




Halal = Permissible (yang dibolehkan di dalam Islam- harus). Lawan bagi halal adalah haram.
Haram = Forbidden (yang dilarang di dalam Islam).

Di dalam Islam, terdapat konsep halal dan haram. Memilih yang halal dan menjauhi yang haram menjadi tuntutan/kewajipan kepada Muslim. Ini kerana adanya ayat-ayat al-Quran dan hadis (sumber rujukan umat Islam- sumber wahyu) mengenai tuntutan ini. Selain halal, terdapat juga konsep toyyib yakni baik, berkhasiat, bersih dan yang sewaktu dengannya. Aspek kebersihan juga perlu dititikberatkan selain aspek halal haram.

Produk halal bukan sahaja boleh digunakan oleh umat Islam bahkan oleh manusia keseluruhannya ^_^

Beberapa perkara mengenai isu halal dan haram di dalam Islam:

A. Bahan/ ramuan
Bahan-bahan yang dianggap kritikal kerana terdapat kemungkinan:
1- Berasaskan haiwan (Animal-based)
2- Produk tenusu
3- Minyak dan lemak (Oil and fats)

Produk halal yang mengandungi bahan berasaskan haiwan hendaklah menepati 2 syarat iaitu: haiwan yang halal dimakan (seperti ayam, lembu, ikan dll) dan disembelih mengikut syarak (kecuali ikan). Haiwan tersebut juga hendaklah tidak membawa mudharat atau racun. Sebagai contoh, lembu yang sakit, ikan yang mempunyai racun. Selain daripada itu, tidak dibenarkan.

Begitu juga buat produk tenusu. Ia hendaklah berasal daripada haiwan yang halal dimakan. Selalunya, susu haiwan di Malaysia diperoleh daripada lembu dan kambing.

Minyak dan lemak boleh berasal daripada sumber haiwan atau tumbuhan. Jika daripada sumber haiwan, hendaklah menepati syarat sebagaimana yang telah disebut di atas. Jika daripada sumber tumbuhan, semua tumbuhan dibenarkan kecuali yang mempunyai racun dan boleh memudharatkan kesihatan.

B. Proses
Selain bahan atau ramuan, proses (langkah-langkah memproses bahan) juga perlu bersih, selamat, berkualiti dan menepati syarat-syarat yang berkaitan seperti undang-undang dan lain-lain. Ini bagi mengelakkan kontaminasi (cross-contamination) dan perkara-perkara yang menyalahi syariah dan teknikal.

C. Lain-lain yang berkaitan
Setelah itu, pengangkutan, cara penyimpanan di gudang dan peruncit juga dititikberatkan atau diambil kira. Secara ringkasnya, produk tersebut halal dan baik (halalan toyyiban) daripada ladang sehingga ke meja makan (farm to fork).

Konsep halal bukan sahaja merujuk pada makanan, bahkan produk selain makanan (non-food product) seperti pelembut fabrik, pinggan mangkuk seramik, barang berasaskan kulit, hospitaliti dan sebagainya, Halal juga merangkumi sistem pengurusan, sistem kewangan dan lain-lain. Luas kan maksud halal dan baik (halalan toyyiban)? ^_^

Kenapa halal dan baik (halalan toyyiban) seiring dan tidak dipisahkan? Ini kerana kita merujuk firman Allah di dalam Al-Quran, antara contoh ayat al-Quran mengenai tuntutan halal:


A168
Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi yang halal lagi baik, dan janganlah kamu ikut jejak langkah Syaitan; kerana sesungguhnya Syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu. (Al-Baqarah 2:168


Terdapat beberapa istilah berkaitan bahan-bahan yang diragui. Sebagai contoh, babi (porcine), lemak babi (lard) - diharamkan; lemak haiwan (tallow), lembu (bovine) - sama ada haiwan yang halal dimakan atau, jika haiwan yang halal dimakan, adakah ia disembelih mengikut syarak; gelatin, glycerin, emulsifier, amino acid/ protein, enzim (enzyme) - adakah sumber haiwan atau tumbuhan; L-cysteine - sumber rambut manusia atau sumber yang diharuskan.

Emulsifier atau bahan yang menggunakan kod E, kod tersebut tidak melambangkan halal atau haram tetapi sumber bahan tersebut boleh jadi sumber halal atau haram. Oleh itu, sebagai langkah berjaga-jaga, pilihlah produk yang mendapat sijil halal Malaysia atau sijil halal luar negara yang diiktiraf oleh JAKIM. Produk yang mendapat sijil halal Malaysia telah menepati Standard Halal Malaysia yang berkaitan dan Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia 2011 (Semakan Kedua). Semua syarat merangkumi syariah dan teknikal dijelaskan di dalam standard halal dan manual prosedur untuk dipatuhi bagi pemohon sijil halal Malaysia.

Isu-isu berkaitan produk bukan makanan (non-food product) adalah seperti bone china (pinggan mangkuk berasaskan tulang babi/ haiwan), kasut/ pakaian kulit (kulit haiwan haram/ kulit haiwan halal - kulit disamak atau tidak), pelembut kain (mempunyai lemak haiwan/ tumbuhan), dan lain-lain.


Logo Halal Malaysia yang diiktiraf




Contoh Standard Halal Malaysia (secara umum):
MS 1500:2009 - Makanan Halal
MS 2200 (Bhgn 1):2008 - Kosmetik dan Dandanan Diri
MS 2424:2014 - Farmaseutikal Halal

Portal Halal
Lawati  www.halal.gov.my

Apa yang anda boleh lakukan di laman web ini? Sebagai pengguna, anda boleh periksa atau mencari produk yang disahkan halal oleh JAKIM (jangan lupa lihat tempoh sah halal produk ^_^). Manakala bagi pihak industri dan pemohon sijil halal yang lain, anda boleh mengisi borang atau memohon untuk mendapatkan sijil halal. Secara umumnya, anda boleh mendapatkan lebih maklumat, pengertian dan lain-lain berkaitan halal di portal ini.

Akhir kalam, pilihlah produk yang halal dan jalani kehidupan yang halal. Buat usahawan dan yang berminat menjadi usahawan, bolehlah menyumbang di dalam industri atau penghasilan produk halal. =)


*Dalam kenangan:

Halal Entrepreneurship Training (",)


Kelas Fiqh Kepenggunaan bersama Dr. Sa'adan Man ^^, - sem 5



Buku tulisan Dr. Sa'adan =)

2 comments:

  1. nice article to share with others,keep it up Munirah..selamat belajar & selamat beramal, teruskan usaha & perjuangan hingga ke akhirnya,.^_^ -SaHuRIs-

    ReplyDelete
    Replies
    1. > Anonymous
      Jazakillahu khoir ya sohabati mahbubati. Terima kasih atas titipan nasihatnya, sangat suka ^_^ Teruskan langkahan Husna dalam menggapai redha-NYA =)

      Delete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...