بسم الله الرّحمن الرّحيم
Alhamdulillah, segala puji bagi ALLAH =) Tak mudah kan untuk bina zouq ketika nak menulis? Moga tulisan ini menjadi salah satu penguat diri dengan izin ALLAH ^^
Tajuk di atas merupakan salah satu tajuk di dalam rancangan 'Pesan Atok' yang bersiaran di TV9 pada setiap hari Isnin sehingga Khamis, 8.30 pagi. Adik-adik yang sedang cuti sekolah sekarang, dan sesiapa yang mempunyai masa lapang pada waktu ini, bolehlah jadikan rancangan 'Pesan Atok' sebagai medan menambah ilmu dan mendekatkan diri pada ALLAH^^
Rumah sendiri
فَإِذَا دَخَلۡتُم بُيُوتً۬ا فَسَلِّمُواْ عَلَىٰٓ أَنفُسِكُمۡ تَحِيَّةً۬ مِّنۡ عِندِ ٱللَّهِ مُبَـٰرَڪَةً۬ طَيِّبَةً۬ۚ
Maka apabila kamu masuk ke mana-mana rumah, hendaklah kamu memberi salam kepada (sesiapa yang seperti) kamu dengan memohon kepada Allah cara hidup yang berkat lagi baik. (An-Nuur 24:61)
Apabila nak masuk rumah sendiri:
- Masuk rumah dahulu.
- Beri salam.
- Wajib bagi yang mendengar salam (di dalam rumah) menjawab salam.
Masuk rumah, sunnah dengan kaki kanan. Beri salam, memadai dengan salam yang pendek - Assalamualaikum. Kalau dalam rumah tiada orang, malaikat yang akan jawab salam kita tetapi, jika syaitan yang ada di dalam rumah kita, salam itu akan memedihkan telinga syaitan, dan membuatnya lari.
Rumah orang lain
Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu masuk ke dalam mana-mana rumah yang bukan rumah kamu, sehingga kamu lebih dahulu meminta izin serta memberi salam kepada penduduknya; yang demikian adalah lebih baik bagi kamu, supaya kamu beringat (mematuhi cara dan peraturan yang sopan itu). (An-Nuur 24:27)
Maka sekiranya kamu tidak mendapati sesiapa (yang berhak memberi izin) maka janganlah masuk ke dalam rumah itu sehingga kamu diberi izin; dan jika dikatakan kepada kamu "baliklah", maka hendaklah kamu berundur balik; cara yang demikian adalah lebih suci bagi kamu; dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui akan apa yang kamu lakukan. (An-Nuur 24:28)
Apabila nak masuk rumah orang lain:
- Jangan masuk rumah dia dahulu.
- Beri salam.
- Palingkan muka dari pintu rumah.
- Setelah mendapat keizinan tuan rumah, barulah boleh masuk.
Beri salam kepada tuan rumah, maksimum adalah 3 kali, secara tenang. Beri salam sekali, tunggu sebentar. Beri salam kedua pula, tunggu sebentar. Dan kemudian, beri salam ketiga. Ada 2 keadaan;
- Jika tuan rumah tidak menjawab salam dan tidak membenarkan kita masuk, walaupun kita dengar ada pergerakan di dalam rumah tersebut (maksudnya rumah tersebut ada orang), hendaklah kita balik.
- Jika tuan rumah menjawab salam dan mengizinkan kita masuk, dalam tempoh 3 salam yang diberi itu, kita boleh masuk.
Wallahua'lam. Marilah kita sama-sama amalkan dalam kehidupan seharian kita. Moga hari ini lebih baik dari semalam =) Salah dan silap mohon diberi tunjuk ajar. Sahabat-sahabat tahu maksud 'Assalamualaikum' atau 'Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh'? Soalan saya untuk diri anda ^_^
No comments:
Post a Comment