Pages

Saturday, August 8, 2015

Jalan-Jalan

بسم الله الرّحمن الرّحيم
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Buah-buahan pelbagai jenis dan rasa


Entri kali ini, mari kita baca makna ayat al-Quran iaitu surah Ar-Ra'd, ayat 1-4.


A001
Alif, Laam, Miim, Raa'. Ini ialah ayat-ayat Kitab (Al-Quran); dan apa yang diturunkan kepadamu (wahai Muhammad) dari Tuhanmu adalah benar; tetapi kebanyakan manusia tidak (mahu) beriman.

A002

Allah jualah yang menjadikan langit terangkat tinggi dengan tiada bertiang sebagaimana yang kamu melihatnya, kemudian Ia bersemayam di atas Arasy; dan Ia memudahkan matahari dan bulan (untuk faedah makhluk-makhlukNya) tiap-tiap satu dari keduanya beredar untuk suatu masa yang telah ditetapkan. Allah jualah yang mentadbirkan segala urusan; Ia menerangkan tanda-tanda kekuasaanNya satu-persatu, supaya kamu yakin kepada pertemuan Tuhan kamu (untuk menerima balasan).

A003

Dan Dia lah yang menjadikan bumi terbentang luas, dan menjadikan padanya gunung-ganang (terdiri kukuh) serta sungai-sungai (yang mengalir). Dan dari tiap-tiap jenis buah-buahan, Ia jadikan padanya pasangan: dua-dua. Ia juga melindungi siang dengan malam silih berganti. Sesungguhnya semuanya itu mengandungi tanda-tanda kekuasaan Allah bagi kaum yang (mahu) berfikir.


A004
Dan di bumi ada beberapa potong tanah yang berdekatan (tetapi berlainan keadaannya); dan padanya ada kebun-kebun anggur, dan jenis-jenis tanaman serta pohon-pohon tamar (kurma) yang berumpun dan yang tidak berumpun; semuanya disiram dengan air yang sama; dan Kami lebihkan buah setengahnya dari setengahnya yang lain (pada bentuk, rasa, dan baunya) Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi tanda-tanda kekuasaan Allah bagi orang-orang yang (mahu) berfikir serta memahaminya.

Subhanallah, Alhamdulillah, Allahu Akbar =)

Tahun ini, saya dan keluarga berkesempatan berjalan-jalan ke 2 buah tempat iaitu Genting Stawberry Park atau Genting Stawberry Leisure Farm (nama carian di internet) dan Farm In The City. Genting Stawberry Park terletak di Pahang. Farm In The City pula terletak di Seri Kembangan, Selangor dan ia umpama zoo namun,
lebih khusus kepada haiwan peliharaan. Antara pengalaman menarik adalah kita dapat menyentuh dan memegang haiwan serta memberi makan (makanan yang disediakan) kepada sesetengah haiwan seperti kura-kura, arnab, kambing, rusa dan burung. Link yang boleh dirujuk: Facebok Farm In The City.

Saya ada buat video buat tatapan sahabat-sahabat iaitu gambar-gambar yang saya tangkap semasa pergi ke sana. Baru saya tahu bahawa menangkap gambar haiwan tidak semudah mengambil gambar pokok kerana haiwan bergerak-gerak. Tempat ini sekadar salah satu tempat perlancongan oleh itu, terdapat pelbagai tempat lain yang anda boleh terokai =)




Alam dan seisinya (seperti tumbuhan dan haiwan) adalah tanda kekuasaan Allah ^_^

Nota: FYP

Sunday, June 21, 2015

Diari Ramadan: Perkara Sunat Puasa

بسم الله الرّحمن الرّحيم
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Picture: credit to owner/designer


Diari Ramadan.
21/6/2015 bersamaan 4 Ramadan 1436 H.

Alhamdulillah, semester 6 ini saya berkesempatan belajar subjek Fiqh Ibadah. Antara topik yang disentuh di dalam pembelajaran adalah "Perkara Sunat Puasa".

Puasa terdapat 4 jenis: Puasa wajib, haram, makruh dan sunat. Puasa Ramadan adalah puasa yang diwajibkan untuk umat Islam apabila tibanya bulan Ramadan, yakni bulan ke-9 daripada kalendar Islam.

Pelbagai kelebihan puasa telah diterangkan oleh Nabi Muhammad S.A.W. di dalam hadith-hadith (Insha Allah saya kongsikan kemudian). Secara umumnya, apabila kita bercakap mengenai puasa, kita selalunya merujuk kepada puasa Ramadan memandangkan seluruh umat Islam di pelbagai tempat akan berpuasa di bulan ini. Oleh itu, saya ingin berkongsi perkara-perkara sunat puasa yang kami pelajari secara ringkas (Rujukan: Buku Fiqh al-'Ibadah oleh Ustazah Anisah Abdul Ghani). Perkara sunat ini boleh diaplikasi di dalam semua jenis puasa (kecuali puasa haram).


  1. Bersahur walau sedikit dan mengakhirkannya (melambatkannya sehingga sebelum masuk waktu Subuh/terbit fajar sadiq).
  2. Segera berbuka setelah yakin tenggelam matahari/masuk waktu Maghrib dan sebelum solat Maghrib. Disunatkan berbuka dengan tamar atau air atau benda manis.
  3. Berdoa selepas berbuka dengan doa yang ma'thur iaitu: َاللهم لَكَ صُمْتُ وعلى رزقِك اَفْطَرْتُ
  4. Memberi/menyediakan juadah berbuka kepada orang yang berpuasa walau dengan tamar atau air atau lain-lain lebih-lebih lagi jika dapat memberi sesuatu yang mengenyangkan.
  5. Menjaga lisan dan anggota badan (amal perbuatan) dengan melakukan perkara-perkara yang tidak berdosa seperti berkata perkara baik atau diam, termasuk di laman sesawang dan lain-lain. Adapun perkara-perkara yang diharamkan seperti mengumpat, mengadu domba dan berdusta, ia adalah dilarang bukan sahaja di bulan Ramadan bahkan setiap masa. Namun apabila kita melakukan perkara keji di bulan Ramadan, kita seolah merendahkan kemuliaan Ramadan.
  6. Meninggalkan perkara harus yang boleh menaikkan syahwat seperti isteri memakai minyak wangi, mencium benda harum dan lain-lain.
  7. Sunat meninggalkan berbekam dan derma darah di sisi Imam Syafi'e (mazhab Syafi'e)
  8. Meraikan keluarga, berbuat baik kepada saudara-mara dan memperbanyakkan sedekah kepada orang fakir dan miskin. Kita digalakkan untuk menjadi pemurah setiap masa dan lebih-lebih lagi di bulan Ramadan.
  9. Beriktikaf terutama pada 10 hari terakhir bulan Ramadan.
  10. Menyibukkan diri dengan majlis ilmu, belajar, membaca al-Quran dan tadabbur maknanya, zikir, selawat atas Nabi, dan lain-lain yang mudah bagi kamu pada siang dan malam.


Wallahua'lam. Apa-apa penambahbaikan dan teguran adalah sangat saya harapkan daripada para asatizah. 

Jemput baca- Ramadan Penyelamat Terakhir

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...